Aidilfitri
tahun ini merupakan Aidilfitri yang paling berbeza pernah aku rasai, dan
mungkin juga paling kosong dan menghibakan. Kulihat langit, langit tidak
secemerlang tahun-tahun sudah. Kurenung mega, mega bukannya semegah mega-mega
yang selalu, yang berarak di kaki langit bak bunga teratai yang berdansa di permukaan kolam. Jiwaku tidak mampu untuk
mencapai harmoni dengan alam kosmos, dek kerana darahku yang segumpal itu tidak
mampu untuk bernyanyi lagi.
Malam itu
aku pulang ke Terengganu dengan hati yang ringan dan riang. Semester pendekku
baru sahaja melabuhkan tirainya dan hanya satu perkara yang aku mainkan dalam
benakku: balik kampung, raya dah dekat. Seingat aku, pada masa itu hanya
tinggal beberapa hari lagi puasa sebelum Syawal menjelma.
Setibanya
aku di wilayah yang telah lama aku tinggalkan itu, aku terus menghubungi ayah
untuk datang menjemputku di terminal bas. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah,
kami rancak berbual, dan aku berkongsi cerita-ceritaku di universiti. Ayah
ialah seorang yang sangat suka berbual, lebih-lebih lagi semenjak memasuki
zaman persaraannya.
Aku sampai
ke rumah pada pukul 6 pagi tepat. Suasana di kampung halamanku yang hening
menghadirkan damai di hatiku. Sudah agak lama bagiku yang berkelana di Kuala
Lumpur tidak menghirup oksigen sesegar ini. Aku memberi salam sebelum masuk ke
rumah. Seperti yang aku jangka, ibu dan adikku masih lagi di tingkat atas,
belum turun lagi nampaknya. Aku mendaratkan bagasi-bagasi yang kupikul di dalam
bilikku. Kelihatan ada sedikit perubahan di ruang tamu rumahku; ruang yang
dulunya kemas kini agak berselerak. Aku terus melunsur ke bilik air untuk
mengambil wuduk bagi menunaikan fardu subuh. Setelah selesai menunaikan solat,
kedengaran bunyi tapak kaki ibu yang agak perlahan tempo langkahannya, menuruni
satu demi satu anak tangga.
Akhirnya
paras dan susuk tubuh ibu yang sudah lama tidak kulihat muncul juga dari balik
tirai. Segala perasaan bercampur baur setelah kutatap wajah ibu yang paling
kurindui itu. Gembira dan hiba berselang seli menerjah masuk dan keluar dari
dadaku. Tubuh ibu sangat kurus dan pipinya cekung. Aku sebak, namun aku tunjuk ekspresi
biasa. Aku terus bersalam dan mencium tangan ibu. Sepanjang dua bulan aku
tinggalkan ibu, ibu sudah menjadi sebegitu kurus. Namun, aku masih lagi kabur
dengan apa yang terjadi.
Sepanjang
keberadaanku di rumah, barulah aku mendapat tahu bahawa ibu telah diserang
paru-paru berair. Aku sangat terkejut mendengarkan hal ini. Ibu hanya sempat
berpuasa tiga hari. Apabila bercakap sahaja tentang perkara itu, ibu menjadi
sebak kerana Ramadhannya tahun ini merupakan Ramadhan yang paling tidak
sempurna buatnya. Aku faham. Aku faham akan kesengsaraan yang ditanggung oleh
ibu, kesengsaraan tidak mampu berpuasa. Ibu hanya banyak meluangkan masanya dengan
terlantar di atas katil. Semua kerja rumah dilaksanakan oleh kami adik-beradik.
Sekarang aku tahu betapa besarnya pengorbanan ibu. Kami tahu betapa agungnya
kasih ibu. Walaupun emosi ibu kadangkala menjadi tidak stabil, kami tidak ambil
hati. Aku tahu kesakitan yang dialami ibu telah sedikit sebanyak mempengaruhi
emosinya.
Setiap kali
aku memandang ibu, aku terasa sungguh pilu. Kadang-kadang, aku memandang ibu
dari jauh ketika ibu sedang tidur. Itulah insan yang telah melahirkanku. Itulah
insan yang telah bersusah-payah membesarkanku. Itulah insan yang telah
mengajarkanku apa itu erti cinta. Di kala bersendirian, aku menangis sepuas-puasnya
kerana tidak lagi mampu kutanggung sebak yang membeku di dalam hati. Kalau
boleh, aku tidak mahu berpisah dengan ibu pada usia semuda ini. Aku perlu
menjadi lebih matang dan kuat untuk kuhadapi dunia tanpamu ibu.
No comments:
Post a Comment