Tragedi yang menimpaku kira- kira dua tahun yang sudah masih lagi segar dalam benakku. Lutut kananku merakam duka yang telah berkali-kali cuba aku padam namun apakan daya, bekas terjahan maut dari sisi itu tidak mampu untuk hilang dalam sekelip mata.
Dendam? Tidak. Aku langsung tidak menaruh sebarang kesumat terhadap sesiapa atas apa yang berlaku, walau sekelumit. Bukannya mahu dihambur pujian, tetapi aku percaya membiarkan dendam bersarang dalam lubuk kalbu merupakan satu pilihan salah yang mungkin meracun imanku.
Sesekali ada juga bertandang amarah membakar emosiku. Dari mana datangnya, aku pun tak tahu. Mungkin dari sakitnya pedih yang aku rasai, atau mungkin sakit itu datangnya dari hati? Ah. Jangan difikir dalam-dalam. Makin celaru aku jadinya nanti. Persoalan bila lutut aku akan pulih merejam- rejam mindaku yang buntu tanpa kepastian. Aku tak mahu jadi cacat sampai mati. Aku kepingin benar untuk melangkah masuk ke padang dengan zat dan bentukku yang semutlak- mutlaknya, dengan kudrat dan kemampuanku semaksimumnya diolah dan diterjemahkan menjadi satu maha karya, kalau boleh dan diizinkan.
Bola sepak merupakan hidupku. Bagi orang lain, benda itu tidak lebih daripada sebiji bola bodoh yang disepak- sepak. Jadi mungkin pada pemahaman mereka, kes seorang manusia dewasa yang tidak mampu untuk bermain bola hanya satu perbincangan yang trivial dan kecil. Ya. Kecil bagi mereka, tapi tidak pada aku. Bola kecil yang bodoh tu kandung makna satu dunia untuk aku. Aku membesar dengan bola sepak, dan aku nak terus tua dengan bola sepak.
Si Lutut Kanan masih lagi tidak menampakkan tanda- tanda untuk keluar dari zon rehat yang panjang, malah bertambah teruk. Pedihnya makin pekat. Salah aku juga. Terlebih guna. Kini, aku ke kelas setiap hari terhincut- hincut. Rutin harian makin sukar tanpa sebelah kaki yang sempurna. Aku mengecap perepeteia dan anagnorisis yang dianugerahkan oleh Tuhan dengan hati yang lapang dan terbuka. Sambil itu, aku tertanya- tanya bila agaknya katarsis untuk tragedi ini akan datang menjelma. Bila ya?