Pages

Thursday, 5 September 2013

Lelaki Misteri

Kebelakangan ini, aku sering sahaja didatangi oleh seorang pemuda dalam tidurku. Tidak ku kenal siapakah gerangannya; dia berkaca mata empat segi, tona warna kulitnya agak cerah, dan parasnya ada sedikit kebaratan. Aku tahu ini bukan mimpi normal; ini paranormal. Bukannya setakat hadir dalam mimpiku kerap kali, yang lagi anehnya makhluk itu sering merenungku dengan pandangan yang tajam dan penuh dengan kebencian dan kesumat yang telah lama tersimpul dan menunggu masa untuk diuraikan. Aku tak takut mahupun gerun, walhal aku terasa seperti mahu membelasahnya sampai lunyai. Aku cukup tak gemar kalau orang pandang aku macam aku ini syaitan.

Paras itu tidak pernah aku nampak, masakan lagi pernah aku sapa mahupun bersahabat. Bagai nak pecah kepala aku menjana logik kepada hal ini. Jus-jus otak ibarat mahu kering didera kontemplasi. Ia lah. Masakan tidak. Orang yang tidak pernah aku tahu wujud atau kenal secara tiba-tiba sahaja masuk menceroboh ke alam lenaku dan merenungku jijik tak tentu pasal. Siapakah dia ini sebenarnya? Syaitan kah, atau malaikat kah? Atau ini salah satu bentuk sihir? Nauzubillah. Aku cuba bertanya siapakah dia. Siapa kau? "Nama aku...." Mimpi aneh ini seringkali berakhir dengan begitu sahaja. Ya. Makhluk misteri itu hanya sempat menuturkan dua patah perkataan: Nama aku.

Aku tahu ini bukan mimpi biasa. Ini mungkin satu petunjuk, atau bahkan mungkin satu amaran kepadaku.  Wallahu a'lam.


No comments:

Post a Comment